Topik yang nak dibiincangkan kali ni agak sensitif tetapi saya cuba paparkan dengan cara yang positif. Kita hanyalah manusia. Dicipta untuk berusaha dan manusia digalakkan untuk menikmati semua anugerah dan kenikmatan di muka bumi ini, selagi ia bersifat halal di sisi ugama Islam.
Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya: ”Apabila udara sangat panas, maka solatlah bila udara sudah agak dingin. Kerana udara yang sangat panas itu bertiup dari neraka jahanam. Dan mengadulah neraka kepada Tuhannya :”Sebahagianku memakan sebahagian yang lain.” Maka Allah mengizinkannya berhembus dua kali, sekali di musim dingin dan sekali di musim panas. Maka itulah yang kamu rasakan, bersangatan panas di musim kemarau dan bersangatan dingin di musim dingin.” (Riwayat al-Bukhari)
Apa yang kita tahu tentang kemarau? Sudah tentulah kemarau adalah apabila hujan tidak turun untuk satu tempoh yang lama. Tanah menjadi kering dan suhu panas berbeza dari biasa. Banyak pokok yang mati. Teringat saya ketika balik ke kampung di Kedah bulan lepas. Banyak kawasan hijau di sepanjang Lebuhraya Plus telah terbakar. Ini merupakan kesan dari pada cuaca yang terlalu panas dan kering. Rumput dan daun-daun pokok kering dan mudah terbakar.
Antara pokok limau purut di ladang saya |
Anda pasti bersetuju jika saya katakan kemarau pada tahun ini agak panjang. Hujan tidak turun dari bulan Januari sampailah sekarang.
Sebagai pengusaha ladang, saya dapati cuaca berbahang dan kering. Kesan yang jelas dapat dilihat pada tanaman pisang saya. Pokok pisang tidak galak mengeluarkan hasil. Kalau pokok berbuah pun, ia tidak dapat bertahan lama. Selepas berat tandan pisang di antara 2 ke 3 kilo, batang pokok akan patah di bahagian tengah. Ini kerana pokok tersebut tidak mendapat air yang cukup. Batangnya kering dan kosong. Oleh itu, dia tidak dapat menampung berat tandan.
Walaupun ladang saya menggunakan sistem pengairan yang sempurna di mana tanaman disiram secara berjadual dengan menggunakan sumber air yang berdekatan iaitu anak sungai, kolam, dan telaga tetapi oleh kerana kepanasan cuaca kali ini menyebabkan pokok-pokok tersebut juga sedikit-sebanyak mengalami masalah yang serupa. Cuma peratusannya agak kurang. Bayangkan sekiranya ladang-ladang besar tidak mempunyai sistem pengairan yang sempurna. Alamatnya, pengusaha tersebut mengalami kemusnahan tanaman dan kerugian yang lebih besar!
There is always a blessing in disguise! Hendak dijadikan cerita, permintaan untuk pisang pula meningkat pada waktu-waktu kemarau begini. Tidak ketinggalan juga daun limau purut yang turut mendapat permintaan yang tinggi. Sejak kebelakangan ini, permintaan daun limau purut meningkat sebanyak 50 peratus. Mujurlah dalam seminggu ni hujan mulai turun. Oleh kerana ladang kawan-kawan belum boleh dituai maka pokok-pokok limau di ladang saya menjadi sasaran utama. Sekarang, apabila ladang kawan-kawan pula dah o.k maka ladang mereka pula saya saya kerjakan satu persatu.
Sebelum hujan datang balik, bagi menampung beberapa permintaan, saya mengimport daun limau purut dari beberapa buah negara seperti Thailand dan Vietnam. Walau bagaimanapun, setelah menggunakan daun limau yang diimport ini, beberapa kilang yang menghasilkan produk makanan telah memberhentikan order. Menurut mereka, daun yang diimport ini tidak mempunyai aroma sepertimana daun limau purut tempatan. Oleh itu, saya terpaksa memberhentikan penghantaran ke beberapa buah kilang. Mahu tidak mahu terpaksalah saya menunggu 2 ke 3 minggu lagi untuk memastikan pokok-pokok di ladang saya dan ladang kawan-kawan boleh dipetik semula.
Kalau hendak dikira order yang dah miss lebih kurang dalam 2-3 tan. Tapi tidak mengapa, kerana saya yakin bahawa rezeki itu adalah milik Allah. Dia tahu apa yang terbaik untuk makhluk-makhluknya. Ganjaran yang lebih baik akan diberi kepada makhluk-makhluknya yang bersabar, berusaha dan sentiasa redha.
Baru seminggu ini daun-daun limau purut dapat diperolehi dari ladang-ladang milik rakan, khususnya di Pahang dan Negeri Sembilan. Bila dah dapat jual, kilang-kilang yang dulu terputus bekalan daun limau purut sudah pun boleh beroperasi semula.
Tetapi pada pendapat saya, rezeki seminggu dua ni adalah untuk rakan-rakan peladang yang mengusahakan ladang dalam saiz yang kecil atau bilangan pokok yang tidak banyak. Biasanya daun-daun dari rakan-rakan ini saya akan kutip jika bekalan dari rakan-rakan supplier lain tidak mencukupi. Saya panggil mereka ni back-up supplier. Ada yang boleh bekal 50-80kg dan ada yang hanya boleh supply 20-30kg. Mereka ini biasanya mengusaha ladang secara part time. So kalau tak ambik setiap bulan pun, mereka no problem. Tetapi kali ini, teruk pokok-pokok tu mereka kerjakan. Yang pasti, kemarau kali ini adalah rezeki mereka. Senyuman mereka sampai ke telinga!
Nasihat saya kepada mereka, pokok mesti dijaga elok-elok. Baja sekerap yang boleh. Ringan-ringanlah tulang menyiram pokok-pokok tu. Jangan harap hujan je. Kerap merumput supaya baja tidak dimakan oleh rumput dan lalang. Tagline kali ni: Jaga daun limau seperti kita menjaga gigi kita!
Sebagai seorang mukmin, kita wajib percaya bahawa setiap bencana yang berlaku sepertimana kemarau kali ini mempunyai banyak hikmah dan juga pengajaran kepada umat manusia. Berdasarkan pengalaman saya, di antara pengajaran yang boleh diperolehi dari kemarau kali ini adalah:
- Kita, khususnya peladang perlu lebih peka dan bersedia untuk bertindak sebelum sesuatu kejadian
- Peladang perlu lebih kreatif dalam memastikan ladang diuruskan dengan kaedah yang mudah, cepat, menjimatkan dan meningkatkan hasil
- Rezeki terbuka luas kepada peladang-peladang kecil atau part timer tatkala rakan lain berusaha menjaga tanaman
- Kemarau kali ini merupakan 'tonik' kepada peladang-peladang untuk mengusahakan ladang secara lebih proaktif dan produktif. Syabas!
Semoga kemarau ini berakhir dan kita mengambil iktibar di atas kejadian kemarau yang berlaku.
Sekian. Hingga berjumpa lagi.