Monday, February 3, 2014

PERTANIAN MEMANG SATU PERNIAGAAN

Salam Semua.

Post saya ini adalah untuk berkongsi pengalaman saya selama beberapa tahun mengusahakan pertanian dan penternakan.

Bukan senang nak senang, kata orang!  Berkat kesabaran setelah melalui berbagai 'tragedi' di dalam bidang ini, akhirnya saya telah menemui produk yang bersesuaian dengan minat, kemampuan saya."Jangan tiru saya.  Ini kerana minat, kekuatan, kelemahan kita (manusia) berbeza".

Buat masa sekarang saya mengusakan penternakan ayam kampung jenis kacukan, 3 ekar limau purut dan sambil-sambil tu diselang-selikan dengan tanaman pisang.  Alhamdulillah, buat masa ini permintaan untuk ayam kampung sentiasa ada.  Untuk langkah permulaan, saya tidak menternak dalam jumlah yang besar kerana masih mencuba-cuba pasaran dulu.
Pokok limau purut hidup subur

Juantiti ayam dalam reban saya dalam satu-satu masa di antara 800 ke 1000 ekor ayam dalam pelbagai saiz dan umur.  Dengan jumlah ayam sebanyak itu sudah pastilah tahinya pun banyak.  Biasanya tahi ayam tersebut saya jadikan baja untuk 300 pokok limau purut dan 200 rumpun pokok pisang sahaja. 

Tahi itu juga dijamukan kepada 50 pokok betik sekaki yang ditanam di sekeliling reban.  Buah betik itu asalnya untuk dijadikan makanan ayam, tetapi oleh kerana buah yang dihasilkan banyak dan ada permintaan maka saya jual saja kepada kedai-kedai buah.  Dapat juga saya gunakan hasil jualan tadi untuk membeli dedak atau ubat-ubat untuk ayam.

Saya juga sedang berjinak-jinak dengan pemeliharaan ayam serama.  Petshops sedia membeli ayam-ayam tersebut setiap kali saya bawa untuk dijual.  Saya dapati ayam serama masih mendapat permintaan yang tinggi di kalangan peminat haiwan di kawasan saya.  Dari segi penjagaan ayam ini tidaklah sukar kerana ayam-ayam ini dibiarkan bermain di dalam dan sekitar reban, serta memakan dedak yang tumpah.  Walaubagaimanapun, ayam-ayam tersebut tersebut saya pastikan diberi minum air bersih yang dicampurkan vitamin setiap hari bagi mengekalkan kesihatan dan kecergasan mereka.
Ayam serama baka Kelantan

Alhamdulillah, saya rasa syukur kerana usaha saya ini telah memberi pulangan yang baik.  Walaupun di peringkat-peringkat awal saya gagal dalam beberapa projek pertanian tetapi kini saya telah menemui projek yng sesuai dengan minat, kebolehan, serta permintaan untuk ayam kampung, daun limau purut, pisang dan betik.

Mengusahakan pertanian dan penternakan memerlukan minat yang mendalam, bijak merancang, mahu belajar, pandai mengurus masa serta perlu bijak mengawal kewangan.

Kita mesti sentiasa peka terhadap pola permintaan supaya dapat memastikan pelaburan kita tidak sia-sia.  Sebagai pengusaha yang baru, saya hanya membekal produk saya kepada pemborong kecil dan sederhana sahaja. Buat masa ini, terus terang saya kaakan, saya masih tidak mampu untuk memenuhi permintaan dari pemborong yang besar.  Kadang-kadang saya berkesempatan memenuhi permintaan mereka dengan mendapatkan bekalan dari rakan-rakan yang turut mengusahakan tanaman/ternakan yang sama. 

Oleh itu, kita perlulah mempunyai networking yang ramai.  Networking atau jaringan adalah mereka yang sama-sama (atau hampir sama) dalam bidang perniagaan yang kita usahakan seperti rakan peladang, pemborong pun sahabat kita, atau peraih kecil-kecilan kerana mereka adalah sebahagian daripada networking kita. 

Banyak ilmu perniagaan yang boleh diperolehi daripada mereka dari segi saiz permintaan, perubahan citarasa (jenis dan kualiti produk), perubahan harga juga mereka tahu, serta kita akan tahu juga tentang karenah pelanggan yang pelbagai. Yang syoknya, mereka tahu 'siapa' punca kalau sesuatu harga barangan jatuh!  Pensyarah universiti pun takkan dapat maklumat on-the-ground seperti ini.

Pastikan juga hubungan kita dengan networking sentiasa aktif.  Ini dapat memastikan perniagaan kita sentiasa up-to date dengan maklumat terbaru.  Ini membantu kita untuk merancang pengeluaran dan menentukan saiz pasaran untuk produk kita.   Dalam erti kata lain, memudahkan kita mengawal kewangan, memastikan produk kita menepati permintaan dan citarasa pelanggan serta juga dapat memastikan kita mempunyai stok yang sentiasa mencukupi.  Barulah pemborong atau pembeli yakin dengan kemampuan kita untuk membekalkan produk mengikut kuantiti dan spesifikasi mereka.

Jumpa lagi di dalam post akan datang, InsyaAllah.



No comments:

Post a Comment