Wednesday, March 12, 2014

JOM BELA AYAM KAMPUNG

As Salam dan Selamat Sejahtera Semua,

Bertemu sekali lagi di blog saya ini. Kali ini saya nak share kaedah mudah yang saya praktikkan untuk penternakan ayam kampung jenis kacukan.  Tapi kalau lepas ni anda nak pergi kursus untuk mengetahui cara sebenar, saya persilakan.  Lebih banyak ilmu, lebih baik.

Bagi pendapat saya, kaedah penternakan ayam kampung jenis ni bergantung sepenuhnya kepada kreativiti penternak.  Dalamerti kata lain, penternak mestilah cekap mengenalpasti kaedah terbaik membesarkan ayam-ayamnya berdasarkan kedudukan ladang.

Berikut saya berikan beberapa tip untuk penternakan ayam kampung.

a)  Cahaya matahari
  • Biar cahaya matahari masuk pagi dan petang.  Ia penting untuk mengawal suhu dalam reban dan kawalan penyakit serta khusus untuk keselesaan anak-anak ayam.
  • Pada peringkat awal, anak ayam mestilah dibesarkan dalam reban didik dengan suhu dalam lingkungan 35-37 darjah calcius.  
  • Bagi menjamin suhu dalam reban didik dapat dikekalkan sehingga waktu malam, reban didik tersebut perlulah ditutup kelilingnya dengan kanvas dalam pukul 5 petang. Kalau tak de duit nak beli kanvas, rembat saja banting terpakai yang tergantung di tiang-tiang lampu.  
  • Kaedah tutup ini digunakan sehingga anak ayam berusia 3 minggu ke sebulan. Kalau musim hujan, biarkan reban didik tersebut tertutup sampai sebulan.  Kaedah ini secara langsung dapat menjimatkan kos elektrik dan lampu.  Kaedah ini amat sesuai sekiranya reban anda tidak mempunyai bekalan elektrik.

b)  Peredaran Angin
  • Peredaran angin amat penting untuk ternakan ayam.  Angin dan cahaya matahari menentukan kesihatan, selera makan dan kecergasan ayam.  Peredaran angin juga dapat mengelakkan penyakit yang berpunca dari gas amonia, terhasil dari najis ayam sendiri.  Gas amonia boleh menyebabkan ayam selsema, mata berair, sakit mata, radang paru-paru dan seterusnya ayam akan hilang selera makan. Bila ternakan hilang selera makan, mereka akan mati.  
  • Tahi ayam perlu dibersihkan sekerap yang boleh dan tahi ayam dimasukkan di dalam guni sebelum dilupuskan.  Sila pastikan guni-guni yang berisi tahi ayam diletakkan di luar kawasan reban.
  • Semburkan keseluruhan dalam reban dengan menggunakan cecair effective microorganism (EM) bagi membunuh kuman yang menghasilkan gas amonia (bau busuk) pada tahi ayam. Cecair E.M selamat digunakan kerana ia bukan bahan kimia, so kalau terkena makanan, minuman atau ayam pun tak apa.  Biasanya saya spray EM ke dalam dedak/makanan, minuman atau pada badan ayam.  Kalau nak dapat E.M (with special price), boleh call saya.  EM juga digunakan secara meluas untuk tanaman.
c)  Jarak Reban-Kawasan Kediaman
  • Bertujuan untuk mengurang stress ayam yang berpunca dari aktiviti manusia seperti bunyi kenderaan, lalu lalang atau menjadi 'port' lepak jiran-jiran (atau anak mereka).  Kalau boleh bina pagar, lagi baik! 
  • Ayam perlu ruang yang bersih dan suasana yang tenang untuk beristirehat.  Barulah ayam-ayam makan banyak dan minda mereka tidak terganggu.  Kalau ayam cepat besar, cepatlah boleh dijual.  
d)  Mengawal Kesihatan Ayam
  • Kesihatan ayam boleh terganggu melalui pelbagai punca.  Apabila ramai orang berkeliaran di kawasan reban maka banyak aktiviti yang boleh mengancam kesihatan ayam.  Contohnya, kalau rakan-rakan kita merokok.  Asap rokok merbahaya untuk pernafasan ayam.  Smoking kills! 
  • Kemungkinan penyakit sawar menyerang ladang kita adalah cerah sekiranya reban kita terletak terlalu hampir dengan aktiviti manusia.  Virus hawar mudah sampai ke ladang kita melalui aktiviti orang ramai.  Inilah di antara cara penyakit hawar bergerak.  Sekali hawar menyerang, satu reban ayam mati.  Tak sempat nak jual.
e)  Perbanyakkan Sumber Makanan
  • Kawasan persekitaran juga memainkan peranan. Tanam pokok pisang sebanyak-banyaknya. Selain pisang yang mudah dijual, daunnya yang hijau memberi ketenangan dan suasana sejuk kepada ternakan.
  • Daun pisang merupakan sumber makanan yang baik untuk ayam.  Selain menjimatkan kos membeli dedak, ia dapat mengurangkan hassle untuk kita mencari makanan alternatif.  Daun pisang merupakan snek yang amat diminati oleh ayam tetapi ayam-ayam perlulah diajar makan daun tersebut sejak usia 2 minggu.  Beri daun yang lembut-lembut dulu, kemudian bolehlah diberi daun yang agak keras selari dengan tumbesaran ternakan tersebut.
  • Bagi memastikan pokok pisang sihat dan subur, tanam tahi ayam di pangkal pokok pisang sebanyak yang boleh.  Sekali-sekali bagilah ayam makan pisang yang dah masak.  Pisang juga sumber kabohidrat yang tinggi untuk ayam.  Tanah 2-3 ekar mampu menghasilkan 5 tandan pisang sebulan.  Setandan pisang abu boleh mencecah berat 25kg dan kalau dijual bolehlah dapat RM40/tandan.
Cukuplah untuk beli dedak ayam
f)  Pemberian Vitamin
  • Kalau kawasan reban ada sumber air semulajadi seperti kolam atau anak-anak sungai, itu lebih baik untuk mendapatkan air bersih, ia sudah pasti menjimatkan kos air.  
  • Sebaiknya, air minuman terlebih dahulu dicampur dengan vitamin (orang panggil ubat merah).  Vitamin ini bukan sahaja menaikkan selera makan ayam tetapi juga untuk mengekalkan kecergasan ayam.  
  • Pastikan air sungai yang digunakan tidak dicemari oleh racun atau baja pertanian atau bahan-bahan toksik dari kilang.  Kalau kita takut nak minum air sungai tu, jangan beri pada ternakan kita.  Simple formula!

Oops! itu je lah yang dapat saya kongsi pada kali ini.  Harap anda enjoy baca post saya kali ni.  Sekian.

No comments:

Post a Comment